Di Damsyiq (Dimascus) terdapat sebuah
masjid besar yang diberi nama Masjid at-Taubah. Ia merupakan sebuah
masjid yang diberkati, indah dan mendamaikan.
Di atas tapak
masjid itu asalnya sebuah gedung tempat berlaku segala macam maksiat.
Pada kurun ke 7 Hijriah, seorang raja yang memerintah ketika itu
membeli gedung tersebut, meruntuhkan dan membina di atas tapaknya
sebuah masjid.
Lebih kurang 70 tahun
lalu, di masjid itu terdapat seorang syaikh atau mahaguru yang alim
mendidik umat Islam di kampong itu. Namanya Syaikh Saleem as-Suyuti.
Dia sangat dihurmati oleh penduduk setempat. Mereka menjadikannya
tempat rujukan dalam semua urusan sama ada urusan dunia atau akhirat.
Di
masjid itu juga terdapat seorang murid yang sangat miskin tetapi
terkenal dengan kemuliaan akhlak dan budi pekerti yang luhur. Dia
tinggal di sebuah bilik yang terdapat di dalam masjid.
Suatu
ketika, dia diserang kelaparan yang tidak mampu ditahan kerana sudah
dua hari tidak menjamah makanan dan tidak ada wang langsung untuk
membeli makanan. Masuk hari ke tiga, dia rasa seolah-olah dia akan mati
kebuluran. Lalu dia berfikir apa yang patut dilakukan.
Pada
pendapatnya, keadaannya telah sampai ke tahap darurat yang
mengharuskannya makan bangkai atau mencuri sekadar yang diperlukan.
Maka dia memilih untuk mencuri.
Masjid itu terletak di sebuah
kampong di mana kedudukan rumahnya rapat-rapat dan bumbungnya
bersambung antara satu sama lain. Seseorang boleh berjalan meniti dari
bumbung ke bumbung bermula dari awal kampong hingga ke hujungnya.
Si
miskin tadi memanjat bumbung masjid dan meniti bumbung-bumbung rumah
untuk mencari makanan. Apabila dia terpandang wanita di dalam rumah,
dia akan segera menjaga mata dan menjauhkan diri dari rumah itu.
Akhirnya dia ternampak sebuah rumah yang kosong dan terhidu bau makanan
yang menyelerakan.
Perasaan lapar yang menguasai dirinya
menjadikan bau makanan itu bagaikan magnet yang menarik-nariknya dengan
kuat agar mengambilnya. Lalu dia melompat dari bumbung memasuki rumah
tersebut. Dia terus ke dapur dan membuka periuk.
Didapati di
dalam periuk itu beberapa biji terung yang telah dimasak, lalu dia
mengambil sebiji. Kerana kelaparan yang teramat sangat, dia tidak
menghiraukan kepanasan terung yang baru dimasak, lantas terus
menggigitnya. Ketika hampir-hampir menelan terung itu tiba-tiba akalnya
yang dipenuhi ilmu agama yang dituntutnya selama ini di masjid
menyergahnya!
Hatinya berbisik: Aku berlindung dengan Allah! Aku
seorang penuntut yang tinggal di dalam masjid, kemudian aku menceroboh
masuk ke dalam rumah orang dan mencuri makanan yang ada di dalamnya?
Dia
rasa terlalu besar dosa yang telah dilakukan. Dia amat menyesal dan
beristighfar. Terung yang telah digigit itu dikembalikan di tempatnya.
Dia segera keluar dari rumah itu dan terus kembali ke masjid. Ketika
itu Syaikh sedang mengajar, lalu dia duduk di dalam halaqah bersama
murid-murid lain. Namun kelaparan yang mencengkam dirinya menjadikan
dia tidak dapat memberi tumpuan pada pengajaran Syaikh dan tidak faham
apa yang didengarnya.
Setelah sesi pengajian tamat, semua
murid-murid beredar dari halaqah. Tiba-tiba muncul seorang wanita dalam
keadaan berselubung menutup seluruh tubuh seperti kelaziman
wanita-wanita di kampong itu. Wanita itu berkata sesuatu kepada Syaikh,
tetapi murid itu tidak mendengar apa yang dikatakannya.
Syaikh memandang sekeliling. Dia tidak Nampak ada orang lain di dalam masjid selain murid yang miskin itu.
Syaikh memamnggilnya dan bertanya, adakah kamu telah berkahwin? Dia menjawab, tidak!
Syaikh bertanya, adakah kamu ingin berkahwin? Dia diam.
Syaikh bertanya sekali lagi, adakah kamu ingin berkahwin?
Dia
menjawab dengan jujur bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membeli
sesuap makanan untuk dirinya, maka untuk apa dia hendak berkahwin?
Syaikh
berkata kepadanya bahawa wanita ini kematian suami. Dia orang asing di
sini. Dia juga telah tidak ada sesiapa lagi di dunia ini kecuali
seorang bapa saudara yang telah tua dan miskin yang tinggal bersama
dengannya. Syaikh menunjukkan ke arah seorang lelaki tua yang duduk di
sebuah sudut halaqah. Syaikh berkata lagi bahawa wanita ini telah
mewarisi rumah dan harta peninggalan suaminya.
Dia mahu
berkahwin mengikut sunnah Allah dan Rasul supaya dia tidak
bersendiriann kerana dibimbangi akan menjadi tumpuan orang-orang jahat
serta pergaulan yang haram. Jadi, adakah kamu mahu menikahinya?
Murid itu terus menjawab, ya!
Syaikh berpaling ke arah wanita itu dan bertanya, mahukah kamu menerimanya?
Wanita itu menjawab, ya!
Maka
Syaikh memanggil bapa saudaranya dan dua orang saksi. Syaikh menikahkan
mereka berdua dan membayar maskahwin bagi pihak muridnya.
Setelah
selesai aqad, Syaikh berkata kepada muridnya, pimpinlah tangannya.
Wanita itu memegang tangan suaminya dan membawanya pulang ke rumah.
Setelah memasuki rumah, dia membuka kelubung yang menutupi mukanya,
barulah murid itu dapat melihat wajah isterinya yang muda dan jelita.
Dia
juga amat terkejut kerana rumah itu adalah rumah yang dia masuki
sebentar tadi dan telah mencuri makanan daripada dapurnya.Isteri
bertanya kepada suaminya, adakah kamu telah makan?
Dia menjawab, ya!
Dia
membuka periuk dan melihat terung yang telah digigit. Dia berkata
dengan hairan, siapa yang masuk ke dalam rumah dan menggigit terung?
Murid itupun menangis sambil menceritakan apa yang telah berlaku.
Isterinya
berkata, inilah hasil amanah. Kamu menjauhkan diri dari terung yang
haram, maka Allah berikan kamu rumah serta tuannya sekali dengan halal.
Diceritakan
oleh Syaikh Ali at-Tantawi di dalam Muzakkiratnya dan dia berkata
bahawa kisah ini benar-benar berlaku dan beliau kenal semua individu
yang terlibat di dalam kisah tersebut.
Pengajarannya: Tinggalkan Yang Haram Allah s.w.t bagi Yang Halal!
No comments:
Post a Comment